Friday, January 29, 2010

Mengejar Pelangi.


Laskar pelangi, bagi saya ia merupakan sebuah filem yang mengandungi banyak pengajaran dan motivasi diri. Sebuah filem yang mengisahkan tentang realiti kehidupan masyarakat yang kurang berkemampuan, hidup dalam kesusahan dek kerana penindasan orang-orang yang berkuasa, mereka mengharapkan sesuatu yang mampu untuk mengubah hidup mereka. Oleh itu, mereka sedar bahawa pendidikan merupakan suatu perkara yang teramat penting bagi generasi akan datang dalam membela nasib mereka. Kisah sepuluh orang anak-anak miskin yang mempunyai keazaman yang cukup tinggi dan cita-cita yang menggunung untuk mengubah nasib diri mereka serta keluarga mereka. Faktor kewangan yang mendesak menyebabkan mereka tidak mampu untuk dihantar kesekolah yang hebat-hebat.

Sekolah yang hampir roboh, berlubang disana-sini menjadi pilihan mereka. Sekolah yang usang dan tidak dilengkapi dengan segala macam kecanggihan itu tidak menjadi penghalang untuk mereka mencipta dan menempa kejayaan seperti orang lain. Mereka tidak menjadikan kekurangan yang mereka ada sebagai alasan untuk mereka terus gagal bahkan mereka menjadikan kekurangan itu sebagai suatu halangan yang mesti mereka hadapi dan tempuhi dalam mencipta kejayaan. Mereka tidak menjadi manusia yang suka beralasan tetapi mereka belajar untuk menjadi manusia yang sentiasa berfikiran positif dalam menghadapi cabaran. Tekanan demi tekanan yang mereka hadapi tidak melemahkan diri mereka walaupun mereka adalah anak-anak kecil bahkan tekanan itu menjadi pencetus semangat dan menambah keazaman mereka.

Sekolah yang didirikan bukan atas dasar material dan keduniaan ini telah diterajui oleh guru yang luar biasa semangat dan keikhlasan mereka, sesekali mereka diuji dengan ujian yang berat dan hebat tetapi itu semua tidak melemahkan semangat mereka dalam mendidik anak bangsa. Dasar pendidikan yang tidak meletakkan nombor sebagai penilai kepada kejayaan seseorang itu, bahkan meletakkan kepercayaan dan dasar bahawa setiap orang itu mampu untuk berjaya kerana tiap-tiap manusia yang diciptakan oleh Allah itu mempunyai kelebihan yang berbeza-beza dan pasti ia boleh berejaya walaupun pada bidang yang berbeza-beza.

Menjadikan Islam sebagai asas dalam pendidikan dengan menerapkan tiga unsur terpenting iaitu akidah, syariah dan akhlak. Lalu ia melahirkan generasi-generasi yang berjaya dari segala sudut bertepatan dengan hasrat yang ingin dicapai iaitu melahirkan insan-insan yang berkebolehan dan mempunyi akhlak yang terpuji.

Sebuah cerita yang ingin mengajar dan mengingatkan kembali manusia tentang kepentingan akhlak dan agama, ingin membuka kembali pemikiran-pemikiran mereka-mereka yang telah disempitkan dengan kejahilan agama bahawa kejayaan yang sebenar dan hakiki itu bukan terletak pada nombor, pangkat dan jawatan tetapi kejayaan itu terletak pada keazaman, keimanan dan kesungguhan untuk berubah. Kejayaan itu bukan pada orang kaya sahaja dan kejayaan juga bukan terletak pada manusia yang sempurna anggota sahaja tetapi kejayaan itu adalah milik semua manusia yang dicipta oleh yang Maha Esa. bersambung................

1 comments:

Unknown on January 29, 2010 at 7:45 PM said...

assalamualykum..hmm..sy x pernah la tonton filem ni, tapi baru je tergerak hati beli novel lasykar pelangi ni..tp ye lah, stakat ni x sempat nk mula baca lagi..sibuk ngan mcm2 + tgah bc buku lain dlu..huhu ~

Post a Comment

 

Pemuda Badar Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template