Saturday, January 2, 2010

Alangkah Ruginya


Pengertian riya’.

Perkataan riya’ adalah berasas dari perkataan arab kata terbitan dari Ra’a, Yura’I, Riya’n, bererti memperlihat-lihatkan atau menonjol-nonjolkan ataupun mempamirkan amalan saleh atau amalan yang berupa ibadah kepada makhluk dengan qasad untuk mendapat tempat di hati mereka. Ertinya pandangan dan sikap dari orang ramai itulah yang menjadi pendorong kepada amalnya. Sesuatu yang diistilahkan riya’ itu mengandungi lima cirri rukunnya :

• Al-Mura’I : orang yang melakukan riya’.
• Al-Mura’a : orang yang diperlihatkan amalan riya’nya.
• Al-Mura’a bihi : perkara-perkara yang menjadi bahan riya’ iaitu amalan ibadah dan ketaatan.
• Al-Mura’ liajlihi : perkara-perkara yang diqasadkan dari perbuatan riya’nya.
• Qasad al-Riya’ : Qasad riya’ itu sendiri.

Riya’ adalah penyakit hati yang membinasakan.

Jika syirik besar akan menyebabkan runtuhnya asas binaan Islam, maka syirik kecil atau riya’ akan menyebabkan runtuhnya nilai amal atau nilai pahala dalam ibadah. Malah boleh menyebabkan nilai dosa seperti yang dinaskan oleh Al-Quran.

”Wahai orang-orang Yang beriman! jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu Dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang Yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin Yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang Yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa Yang mereka usahakan. dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum Yang kafir.” (surah al-Baqarah ayat : 264).

Riya’ membahayakan diri.

Adapun bahaya kepada individu adalah jelas. Kemuncak dari apa yang dicita-citakan oleh seorang mukmin ialah keselamatan dari sisi Allah. Itulah yang disebut oleh al-Quran. Kejayaan atau kemenangan yang agong. Kejayaan ini selain ianya dari rahmat dan kurniaan Allah – adalah bergantung kepada amal usaha kebaikan di dunia yang diterima oleh Allah. Amal kebaikan yang diterima ialah amalan kebaikan yang bernilai baik atau yang diberi nilai pahala oleh Allah. Amalan baik yang bernilai baik ialah amalan yang lahirnya dilakukan mengikut kehendak syara’ dan mengikut peraturannya, sementara batinnya pula hendaklah dimatlamatkan, diqasad atau diniatkan kerana Allah. Jekasnya niat yang ikhlas dan bersih kerana Allah. Nilai inilah yang kekal dan menjadi bahan bekalan bagi kenikmatan.

Kalaulah kurangnya nilai pahala pada amal itu sudah merupakan satu kerugian inikan pula runtuh nilai pahalanya, apatah lagi kalau kedapatan dosa ! sebab itulah mengapa Rasullullah (s.a.w) menyatakan rasa kebimbangannya ke atas para sahabat lebih-lebih lagi ke atas umatnya.

Menurut islam riya’ adalah suatu sifat yang tercela dan hina. Oleh al-Quran ditegaskan bahawa sifat ini adalah sifat orang-orang kafir dan munafiq. Ia merupakan salah satu dari penyakit-penyakit hati yang merosak dan membahayakan, bukan sahaja kepada individu tetapi pada masyarakat dan umat, dan kebahagiaan hidup yang sebenar dan hakiki di akhirat. Bayangkan..!! betapa kecewa dan hampanya jika dalam saat yang dinanti-nantikan dan diharap-harapkan iaitu saat untuk kita mendapatkan nilai dari segala amalan dan kebaikan sewaktu di dunia tetapi dalam saat-saat yang sedemikian tiba-tiba kita dapati amalan ibadah kita itu tidak diberi nilai kerana sifat riya’ yang telah merosak dan membatalkannya. Keadaan ini digambarkan dalam sebuah hadith sahih tentang tiga orang yang telah menyumbang amal yang besar kepada masyarakat, iaitu sebagai mujahid yang berjuang untuk agama, Negara dan bangsa, seorang alim yang menyebarkan ilmunya dan ketiga seorang hartawan yang dermawan dan pemurah untuk melakukan amal kebajikan. Ketiga-tiga ini bukannya mendapat penghargaan dan balasan syurga tetapi sebaliknya telah dimasukkan ke Neraka sepertimana yang diterima oleh pelaku maksiat dan mereka yang derhaka.

Jelas menunjukkan kepada kita bahawa iblis dan sekutu-sekutunya tidak akan sesekali berhenti dan berputus asa untuk menyesat dan menyelewengkan kita. Walaupun pada zahirnya kita merasakn yang seseorang itu telah Berjaya atau kita merasakan bahawa kita telah Berjaya kerana telah mampu untuk melakukan pelbagai amalan-amalan yang baik serta banyak melakukan amal ibadah…. Perlu diingat syaitan tetap tidak akan berhenti untuk merosak dan menyelewengkan kita. Klo pada zahirnye syaitan tidak mampu die pasti akan cuba dari sudut yang lain iaitu dengan berusaha untuk memesongkan niat kita… tujuannya tidak lain agar amalan kebaikan yang kita lakukan itu tidak diterima oleh Allah s.w.t.

Oleh itu perlu sentiasa dan selalu memuhasabah diri dan selalulah memperbaiki niat kerana dikhuatiri kita tergolong di kalangan orang-orang yang berpenyakit hatinya dan rosak amalannya.


0 comments:

Post a Comment

 

Pemuda Badar Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template