Monday, March 8, 2010

BERDAKWAH MELALUI PEPERANGAN

0 comments
Firman Allah S.W.T :
Maksudnya: Dan berperanglah kamu pada jalan Allah (kerana mempertahankan kebenaran ugamaNya); dan ketahuilah, Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.


Mempersiapkan diri dalam semua perkara sebelum berjihad itu adalah sebaik-baik jalan untuk mencapai dan mempertahankan keamanan. Adapun agama Islam telah mewajibkan berjihad kepada umatnya atau penganutnya bukanlah bertujuan untuk membuka ruang dan jalan untuk melakukan kerosakan dan menyalakan api permusuhan dan bukan juga untuk membuka ruang atau jalan untuk bersikap tamak haloba kepada harta benda dunia, iaitu merampas dengan kekerasan semata-mata tetapi jihad itu telah diwajibkan dan disyariatkan oleh Allah s.w.t kepada hamba-hambanya bertujuan untuk menjaga dan menjamin keamanan dan kedamaian dengan menunaikan setiap perintah dan menyampaikan risalah yang telah dipertanggungjawabkan oleh Allah ke atas setiap hambanya. ( Hasan Al-Banna .1389-1969 : 39-40 )

Allah S.W.T telah memerintahkan umatnya agar menyampaikan risalah agama yang akan memberi petunjuk kepada manusia menuju kearah pintu gerbang keadilan dan kebenaran sebagaimana firman Allah S.W.t.

Maksudnya : Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka Engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakalah kepada Allah. Sesungguhnya ia Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.
( Surah al-Anfaal:8:61 ).

Setiap orang Islam yang keluar untuk berjihad, hendaklah ia memperbetulkan niat dan menyucikan jiwanya dari sebarang perkara yang menyebabkan ia tersasar dari tujuan jihad yang sebenar berdasarkan al-Quran dan As-Sunnah iaitu berjihad semata-mata untuk meninggikan kalimah Allah S.W.T .

Sebagai pejuang yang benar-benar ingin berjihad di atas nama agama, hendaklah ia menjauhkan niat dan tujuannya daripada berjuang untuk mendapatka keduniaan semata-mata seperti ingin bermegah-megah, mengejar kebendaan, memperkosa dan berlaku kejam terhadap rakyat jelata yang tidak berdosa, kerana segala perbuatan-perbuatan tersebut adalah haram dan terkutuk disisi agama. Di dalam jihad hanya satu perkara sahaja yang dihalalkan oleh Islam iaitu mengorbankan darah, menyerahkan jiwa raga kepada agama dan memberikan petunjuk serta tauladan kepada seluruh manusia.

Daripada Abi Hurairah r.a : berkata sesungguhnya seorang lelaki telah berkata : wahai Rasullullah! seorang lelaki mahu pergi berjihad di jalan Allah dengan tujuan hendak mendapatkan faedah keduniaan. Maka jawab baginda : “Tidak ada baginya pahala” diulang-ulang perkataannya itu hingga tiga kali, pada tiap-tiap kali baginda mengatakan : “Tidak ada baginya pahala”. ( Hadis Dikeluarkan Oleh Abu Daud ). ( Hasan Al-Banna .1389-1969 : 41 )

Sekiranya kita membaca dan meneliti kisah-kisah perjuangan para sahabat serta memperhatikan adab sopan mereka sewaktu mereka menyerang sesuatu negeri yang mereka buka, pasti kita akan dapat melihat sifat-sifat mereka yang jauh daripada perasaan tamak haloba dan mengikut kemahuan hawa nafsu yang ganas dan kejam. Ternyata kelihatan tujuan mereka berjihad adalah benar-benar untuk menegakkan kalimah Allah S.W.T yang tertinggi. ( Hasan Al-Banna .1389-1969 : 41 )
 

Pemuda Badar Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template