Tuesday, October 12, 2010

Kebudayaan Di Dalam Bahaya.


Manusia hari ini hidup dibawah naungan kebudayaan yang bertentangan dengan Islam, iaitu kehidupan yang sia-sia tanpa pengertian dan tidak mengetahui hikmah mengapa ia diciptakan. Kebudayaan hari ini laksana tuan kepada sebuah kapal, ia menghiasi kapal tersebut dengan segala macam perhiasan dan kemudahan agar manusia tertarik untuk menaiki kapal tersebut, setelah ia dipenuhi oleh penumpang terus ia belayar dilautan tetapi pelayarannya adalah pelayaran tanpa hala tujuan. (Abdul Majid Azzuandi : 1999)

Demikianlah kebudayaan pada hari ini mengajar kepada manusia bagaimana dia hidup tetapi ia tidak mampu menerangkan kepada manusia mengapakah manusia itu hidup dan diciptakan.? Jelaslah bahawa manusia tidak ada jalan keluar dari kesia-siaan hidup didunia ini kecuali dengan mewujudkan tali pergantungan kepada yang Maha Menciptakan yang telah menciptakan sekalian isi langit dan bumi. Sesungguhnya Dia sahajalah yang mengetahui hikmah disebalik setiap penciptaan dan mengapa manusia itu diciptakan.

Selagi manusia tidak mengenali penciptanya urusan dirinya tetap akan dipandang lebih kecil dari sehelai kertas dan lebih hina dari seekor serangga. Diantara gejala dan akibat dari kebudayaan zaman ini ialah kegoncangan yang mengerikan. Ia menggoncangkan sendi-sendi kehidupan individu dan masyarakat, ketagihan arak, gilakan hiburan, pelacuran dan pembuangan bayi merupakan cara hidup yang sangat menggilakan. Inilah yang memenuhi jiwa-jiwa yang sentiasa bergelojak kerana nafsu amarah yang membuak-buak dan kerana kekosongan jiwa dari nur dan hidayah dari Allah.

Pertarungan diantara manusia adalah implikasi dari kekufuran, jadi jalan keluar daripadanya adalah dengan jalan keimanan kepada Allah dalam erti kata yang sebenar. kebudayaan yang menguasai dunia hari ini adalah kebudayaan jahiliyyah yang dipenuhi dengan kezaliman, penindasan, pemerasan kerana para pemerintah membuat undang-undang untuk menguasai manusia. Mereka menjadikan undang-undang ciptaan mereka sebagai alat untuk menjalankan muslihat mereka demi memuaskan nafsu syahwat mereka.

Kezaliman, penindasan dan pemerasan oleh hukum manusia tidak mungkin dapat dihapuskan kecuali kekuasaan ini dilucuti dari tangan mereka dan dipindahkan kepada Allah s.w.t. Adapun syariat Islam yang terkenal dengan keadilannya, kebaikan telah mengagumkan para pakar undang-undang. Mereka tidak mempunyai jalan lain kecuali mengakui keagungan dan kesempurnaan undang-undang Islam apabila mereka mengetahuinya. Mereka mengakui bahawasanya jalan keluar dari krisis, bencana dan kezaliman ini adalah dengan kembali kepada syariat Islam.

Wahai orang yang berakal, apakah tindakan yang akan kamu lakukan apabila kamu melihat sekelompaok manusia yang mengubah lelaki kepada wanita dan wanita menjadi lelaki, mencabut kemuliaan yang telah Allah berikan kepadanya sehingga ia menjadi sehina-hina binatang yang melata diatas muka bumi ini, meruntuhkan sistem kekeluargaan dan merosakkan moral. Demikianlah keruntuhan dan krisis kebudayaan zaman ini, inilah buah-buah kekufuran yang menghimpit dan penuh dengan kegoncangan. Justeru itu, tidak aka akan ada jalan lain lagi yang dapat menyelamatkan umat Islam melainkan dengan jalan keimanan agar mereka dapat menjadi pengikut dan pewaris para nabi

1 comments:

hanimyusra on October 12, 2010 at 4:38 AM said...

ikutlah budaya yang baik dan tinggalkanlah budaya yang memesong~

Post a Comment

 

Pemuda Badar Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template