Sunday, February 7, 2010

Jamaluddin Al-Afghani


Nama sebenarnya ialah Jamaluddin Bin Safdar tetapi beliau lebih dikenali dengan nama Jamaluddin Al Afghani. Nasabnya sampai kepada Ali Al-Tirmizi, seorang ahli hadith yang terkenal, lalu terus sampai titisannya kepada Saiyidina Hasan Bin Ali Bin Abu Talib. Keluarganya berkuasa dan memerintah sebahagian tanah Afghanistan hingga akhirnya kekuasaan mereka dirampas oleh Raja Muhammad Khan. Kemudian bapanya serta ahli keluarganya pun dipindahkan ke kota Kabul.

Jamaluddin dilahirkan disebuah kampung bersama Asad Abad dalam jajahan negeri Iran pada tahun 1839 Masihi. Menurut cerita, bapanya adalah seorang pegawai tentera Iran. Pada suatu ketika ia dihantar bertugas di sempadan negeri Afghanistan, bapanya tertarik dengan negeri itu lalu bermastautin disana. Semasa kecilnya lagi Jamaluddin telah mendapat didikan agama yang mantap. Dan memang dari sejak kecilnya lagi beliau mempunyai bakat dan kecerdasan otak, pintar dan berpandangan jauh. Pada ?mulanya beliau belajar tentang ilmu bahasa Arab seperti nahu, saraf dan sastera lalu mengkaji pula ilmu-ilmu syariat seperti tafsir, hadith, feqah, usul fiqh, ilmu kalam, tasauf, sejarah, falsafah, mantik, politik, akhlak, ilmu jiwa, ilmu falak dan teori-teori kedoktoran ilmu kajian tubuh manusia.

Setelah selesai pengajiannya, Jamaluddin pun merantau ke negeri India dan di sanalah beliau belajar ilmu matematik peringkat tinggi mengikut cara dan sistem moden. Pada tahun 1857 Masihi, Jamaluddin telah pergi menunaikan fardu Haji dan tinggal di Hijaz selama setahun. Setelah itu beliau telah merantau ke Baitulmaqdis, dan selepas melawat negeri Iraq dan Iran, beliau pun kembali ke negerinya melalui Baluchistan. Semasa pengembaraannya ke negeri-negeri Islam pada waktu itu Jamaluddin berasa sangat sedih sekali mengenangkan keadaan yang menimpa umat Islam di negeri-?negeri yang dilawatinya.

Sekembali ke negerinya, Jamaluddin telah berkhidmat dengan pemerintah kerajaan. Dalam masa pemerintahan inilah kerajaan Inggeris telah memainkan jarum untuk memecah belahkan rakyat dengan rajanya hingga terjadi pelbagai fitnah dan perbalahan diantara keluarga diraja sendiri sehingga akhirnya Mohammad A'azan Khan dapat menguasai kota Kabul dan Jamaluddin dilantik menjadi orang pertama bertanggungjawab menasihatkan pemerintah Mohammad A'azam Khan.

Dengan sebab fitnah-fitnah usaha-usaha jahat yang dilakukan oleh Inggeris itu telah menjadikan Jamaluddin sangat benci terhadap kerajaan Inggeris lalu beliau menyeru kaum Muslimin supaya bangkit menentang penjajahan Inggeris hingga dapat diusir keluar dari negeri-negeri Islam yang didudukinya. Walaupun dengan berbagai tipu helahnya pihak Inggeris berjaya juga mencetuskan pergaduhan di antara keluarga diraja serta membeli ketua-ketua kabilah, memberi rasuah agar menkhianati Mohammad A'azam.

Akhirnya Pemerintah Muhammad A'azam mengalah lalu lari ke negeri Iran dan meninggal di kota Naisaboor tidak lama kemudiannya. Walaupun Jamaluddin tidak ikut sama melarikan diri tetapi akhirnya beliau membuat keputusan untuk keluar meninggalkan tanah airnya kerana merasakan dirinya tidak selamat dengan tipu-helah pemerintah. Jamaluddin tidak menetap di sebuah negeri sahaja bahkan beliau berpindah-pindah menyebarkan seruan dan pengajarannya ke mana sahaja beliau pergi. Beliau telah melawat negara-negara Arab, Mesir, Turki, Iran, Iraq, negeri Eropah, Rusia, England dan dari Paris hingga ke Amerika. Jamaluddin juga telah menulis pelbagai masalah dan krisis di majalah-majalah dan surat-surat khabar di negeri-negeri Arab dan Eropah. Beliau fasih dan petah berbahasa Arab, Parsi, Turki, Inggeris, Perancis dan Rusia hingga menyebabkan beliau mudah bercampur gaul dengan ahli-ahli fikir dan tokoh-tokoh sastera, falsafah dan politik ditimur dan dibarat.

Pengalaman, pemikiran serta keahliannya itulah yang menjadikan diri beliau sebagai seorang tokoh besar dunia diwaktu itu. Ketika beliau berada di Mesir, beliau telah bertugas di University AI Azhar. Disebabkan pengaruhnya yang mendalam serta pengalamannya yang sangat meluas, kuliah-kuliah syarahannya telah mendapat sambutan yang hangat dari golongan cerdik pandai. Di mana tempat pun beliau memberi syarahannya maka orang ramai akan datang membanjiri tempat itu. Bidasannya yang tajam dan hebat terhadap pihak kuasa Barat telah menyebabkan pihak Khedive Mesir berasa curiga terhadap beliau hingga akhirnya Jamaluddin telah diusir keluar dari bumi Mesir.

Semasa di Mesir, Jamaluddin telah memberi semangat dan dorongan kepada sesiapa sahaja yang bergaul dengannya manakala ilmu pengajarannya yang dinamik dan repolusioner itu telah meninggalkan kesan serta pengaruh yang mendalam terutamanya kepada dua tokoh intelektual Mesir ketika itu. Seorang daripadanya ialah Saud Zaghlul Pasha yang berazam untuk membebaskan negerinya dari kuasa penjajahan dan seorang lagi ialah Shaikh Mohammad Abduh yang menjadi muridnya yang setia.

Dari Mesir, Jamaluddin AI Afghani telah pergi pula ke negeri Turki dimana tokoh-tokoh terkemuka di sana sangat terpengaruh oleh pengajaran-pengajarannya. Pada tahun 1871 beliau sekali lagi telah kembali ke negeri Mesir lalu menghabiskan masanya bagi membangkitkan semula kegemilangan umat Islam dan ajaran-ajarannya. Tidak lama selepas itu beliau telah mengkhidmatkan dirinya dalam kerja?-kerja kebajikan dan pendidikan. Beliau telah menggesa pihak yang berkenaan supaya bukan sahaja mengiktirafkan bahasa Urdu sebagai bahasa pengantar dalam pentadbiran pemerintah bahkan juga untuk menjadikannya sebagai bahasa rasmi negara. Akibat dari keberaniannya itu beliau telah ditangkap lalu dihantar ke Culcutta. Dari sana Jamaluddin telah belayar pula ke England. Tetapi tidak lama kemudian beliau telah menyeberang Selat Inggeris lalu tiba ke negeri Perancis.

Dikota Paris, Jamaluddin telah mengasaskan Badan "Pertubuhan Alurvatul Vusuka" lalu menerbitkan sebuah akhbar mingguan dalam bahasa Arab yang bertujuan untuk mengobarkan gerakan Pan-Islamisme. Fahaman yang hendak ditanamkan oleh AI Afghani melalui akhbar itu ialah seluruh negara-negara Asia umumnya dan Islam khususnya akan menjadi mangsa penjajahan Barat satu demi satu kecuali mereka mengorak langkah untuk menyatukan tenaga untuk mengalahkan cita-cita mereka yang jahat itu.

Dari kota Paris Jamaluddin Al Afghani telah ke Moscow dan kemudian ke bandar St.Petersburg dimana beliau telah tinggal lebih dari empat tahun. Di sana beliau telah berjaya memujuk Maharaja Czar Russia bagi membenarkan rakyatnya yang beragama Islam supaya menerbitkan serta menggunakan Kitab Al Qur'an dengan bebas serta juga buku-buku agama yang lain. Al Afghani telah menekankan satu hakikat bahawa keteguhan sesebuah negara tidak bergantung kepada tenteranya bahkan kepada semangat rakyatnya, akhlak mereka serta keteguhan perpaduan mereka.

Bentuk pengajaran Jamaluddin Al Afghani tersimpul dalam dua kesimpulan. Pertama beliau menekankan supaya pengajaran agama Islam itu diperbaiki supaya sesuai dan dapat mengikuti tamadun moden dan kedua bertujuan untuk membebaskan negara-negara Islam di Timur dari cengkaman kekuasaan Barat. Beliau sentiasa berpendapat bahawa umat Islam telah merosot akhlaknya dan lemah semangat serta dikuasai oleh hawa nafsu yang buas. Beliau menaruh keyakinan penuh bahawa kekuasaan negara Barat ke atas negara-negara Islam adalah amat bahaya dengan keadaan demikian jika umat Islam tidak berubah, mereka pasti akan menerima nasib yang lebih buruk lagi. Oleh yang demikian umat Islam hendaknya bangkit untuk mengembalikan maruah agama dan diri mereka sebagai umat yang mulia lagi terpuji.

Pejuang Islam yang gigih lagi dinamik ini telah menghembuskan nafasnya yang terakhir dibandar Konstantinople, iaitu kota Istanbul sekarang pada 9 haribulan Mac 1897. Semoga Allah s.w.t mencucuri RahmatNya keatas rohnya dan menerima segala amalnya yang soleh. Begitulah tokoh yang menanamkan satu benih yang cukup subur dalam jiwa umat Islam supaya berjiwa merdeka menentang dan berhadapan musuh-musuh Allah.

0 comments:

Post a Comment

 

Pemuda Badar Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template