Friday, January 29, 2010

Mengejar Pelangi.

1 comments
Laskar pelangi, bagi saya ia merupakan sebuah filem yang mengandungi banyak pengajaran dan motivasi diri. Sebuah filem yang mengisahkan tentang realiti kehidupan masyarakat yang kurang berkemampuan, hidup dalam kesusahan dek kerana penindasan orang-orang yang berkuasa, mereka mengharapkan sesuatu yang mampu untuk mengubah hidup mereka. Oleh itu, mereka sedar bahawa pendidikan merupakan suatu perkara yang teramat penting bagi generasi akan datang dalam membela nasib mereka. Kisah sepuluh orang anak-anak miskin yang mempunyai keazaman yang cukup tinggi dan cita-cita yang menggunung untuk mengubah nasib diri mereka serta keluarga mereka. Faktor kewangan yang mendesak menyebabkan mereka tidak mampu untuk dihantar kesekolah yang hebat-hebat.

Sekolah yang hampir roboh, berlubang disana-sini menjadi pilihan mereka. Sekolah yang usang dan tidak dilengkapi dengan segala macam kecanggihan itu tidak menjadi penghalang untuk mereka mencipta dan menempa kejayaan seperti orang lain. Mereka tidak menjadikan kekurangan yang mereka ada sebagai alasan untuk mereka terus gagal bahkan mereka menjadikan kekurangan itu sebagai suatu halangan yang mesti mereka hadapi dan tempuhi dalam mencipta kejayaan. Mereka tidak menjadi manusia yang suka beralasan tetapi mereka belajar untuk menjadi manusia yang sentiasa berfikiran positif dalam menghadapi cabaran. Tekanan demi tekanan yang mereka hadapi tidak melemahkan diri mereka walaupun mereka adalah anak-anak kecil bahkan tekanan itu menjadi pencetus semangat dan menambah keazaman mereka.

Sekolah yang didirikan bukan atas dasar material dan keduniaan ini telah diterajui oleh guru yang luar biasa semangat dan keikhlasan mereka, sesekali mereka diuji dengan ujian yang berat dan hebat tetapi itu semua tidak melemahkan semangat mereka dalam mendidik anak bangsa. Dasar pendidikan yang tidak meletakkan nombor sebagai penilai kepada kejayaan seseorang itu, bahkan meletakkan kepercayaan dan dasar bahawa setiap orang itu mampu untuk berjaya kerana tiap-tiap manusia yang diciptakan oleh Allah itu mempunyai kelebihan yang berbeza-beza dan pasti ia boleh berejaya walaupun pada bidang yang berbeza-beza.

Menjadikan Islam sebagai asas dalam pendidikan dengan menerapkan tiga unsur terpenting iaitu akidah, syariah dan akhlak. Lalu ia melahirkan generasi-generasi yang berjaya dari segala sudut bertepatan dengan hasrat yang ingin dicapai iaitu melahirkan insan-insan yang berkebolehan dan mempunyi akhlak yang terpuji.

Sebuah cerita yang ingin mengajar dan mengingatkan kembali manusia tentang kepentingan akhlak dan agama, ingin membuka kembali pemikiran-pemikiran mereka-mereka yang telah disempitkan dengan kejahilan agama bahawa kejayaan yang sebenar dan hakiki itu bukan terletak pada nombor, pangkat dan jawatan tetapi kejayaan itu terletak pada keazaman, keimanan dan kesungguhan untuk berubah. Kejayaan itu bukan pada orang kaya sahaja dan kejayaan juga bukan terletak pada manusia yang sempurna anggota sahaja tetapi kejayaan itu adalah milik semua manusia yang dicipta oleh yang Maha Esa. bersambung................

Tuesday, January 26, 2010

Memisahkan Agama Daripada Politik Merupakan Tindakan Sesat.

0 comments
Seorang ulama’ besar, Syeikh Muhammad Al-Khidhr Husain, salah seorang sheikh al-Azhar, beliau menggunakan istilah dhalalah (kesesatan) bagi mengungkapkan tindakan memisahkan agama daripada politik. (Yusuf Al-Qaradhowi 2009)

Pada kenyataannya, Islam mengajarkan banyak hal termasuk dasar-dasar hukum dan norma-norma dalam politik. Orang yang mengingkari adanya ajaran-ajaran tersebut hanyalah orang yang bodoh terhadap ajaran al-Quran dan as-sunnah serta sejarah khulafa’ ar-rasyidin yang memutuskan persoalan dengan timbangan syariat dan ketika terjadi perbezaan pendapat mereka kembali kepda kitabullah dan sunnatullah.

Syeikh al-Khidhr menjelaskan, banyak dalil yang menunjukkan bahawa al-Quran sangat memperaktikkan urusan muamalah (interaksi sosial) dan mengandungi petunjuk politik bagi pemerintah. Firman Allah s.w.t :

Surah al-Maidah 5:50
“sesudah itu, Patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? padahal - kepada orang-orang Yang penuh keyakinan - tidak ada sesiapa Yang boleh membuat hukum Yang lebih pada daripada Allah.”

Kemudian syeikh al-khidr menyebutkan beberapa ayat yang berkenaan dengan peperangan, perdamaian, perjanjian dan hubungan antarabangsa. Begitu juga dengan sunnah-sunnah Nabi yang sahih, banyak sekali hukum yang disampaikan secara terperinci, sama ada hukum yang berkenaan dengan muamalah, jenayah, dan sebagainya. Hal ini menunjukkan bahawa orang yang ingin memisahkan agama daripada politik sebenarnya kerana dia berfikir tentang agama selain agama Islam. (Yusuf Al-Qaradhowi 2009)

Kesimpulannya, memisahkan agama daripada politik sama dengan menghancurkan sebahagian besar hakikat agama. Tidak ada seorang muslim yang menyeru idea ini kecuali selepas mereka menjadi orang bukan muslim.

Tuesday, January 5, 2010

kalimah "Allah"

0 comments

Isu kalimah Allah….

Alhamdulillah dengan rahmat dan keizinan darinya dapat juga saya meluangkan masa untuk menulis sedikit berkenaan dengan isu baru yang boleh juga dikatakan isu panas yang sedang hangat diiperkatakan di media-media dan juga blog-blog. Isu yang sudah agak lama sebenarnya dan kemuncaknya adalah pada awal tahun baru yang lepas 31 Disember 2009 , selepas mahkamah tinggi mengeluarkan keputusan dengan berhakimkan hakim Lau Bee Lan, beliau 'menyanggah' keputusan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum ini yang telah mengharamkan penggunaan kalimah Allah oleh akhbar milik penganut Kristian Katolik di Malaysia.

Kita boleh membaca dan melihat pelbagai respon dari pelbagai pihak sama ada individu, NGO, parti-parti politik dan tidak dilupakan juga para pemerintah negara. Di sana terdapat pelbagai ragam pendapat yang dikemukakan sama ada secara ilmiah atau pendapat peribadi masing-masing mengenai isu ini. Terdapat juga pendapat-pendapat yang “panas” yang menghentam orang sana dan menghentam orang sini, menyalahkan orang sana dan menyalahkan orang sini, tetapi bagi saya ini adalah perkara biasa dan ini juga menunjukkan betapa rakyat Malaysia umumnya dan umat islam khususnya yang begitu sensitive mengenai isu penggunaan kalimah “Allah” ini.

Apa pun saya cuba untuk tidak menghentam mana-mana pihak atau condong kepada mana-mana pihak dalam penulisan artikel ini dan hanya mengeluarkan pendapat serta respon dari sudut pandang saya sebagai pelajar dan mahasiswa dalam menilai dan melihat isu ini.

Kebimbangan yang ada kebenarannya….

Sekiranya kita teliti dan fahami tentang respon-respon yang memberikan pendapat mereka mengenai hal ini, kebanyakkan mereka bimbang sekiranya hal penulisan perkataan Allah oleh penganut kristian dalam penerjemahan mereka, akan mengabur dan mengelirukan masyarakat khususnya golongan-golongan yang kurang berpendidikan dan juga bimbang tentang keadaan masyarakat pada masa akan datang, dibimbangi masyarakat akan lebih mudah terdakyah dengan ajaran kristian akibat dari kekeliruan penggunaan perkataan Allah ini. Sepertimana yang diketahui bahawa di Malaysia, gerakan misionari wujud dan bergerak secara aktif untuk mengkadirkan penganut-penganut baru walaupun perlembagaan Negara melarang tindakan tersebut. Mungkin dengan cara ini akan lebih memudahkan mereka untuk menggoyah dan mengelirukan akidah umat Islam. Sekiranya diamati dengan teliti mengapa mereka iaitu pihak gereja terlalu bersungguh-sungguh untuk menggunakan perkataan “Allah” dalam perterjamahannya kali ini, bukankah sebelum ini mereka menggunakan istilah “tuhan bapa” dalam menafsirkan perkataan “GOD” dan mengapa pula sekarang mereka mahu menggunakan perkataan “Allah” pula untuk menggantikan perkataan tuhan bapa..? seperti ada suatu agenda yang tersembunyi yang sedang mereka rencanakan…..

Mereka sesekali tidak akan pernah untuk duduk diam dan berhenti dari menyesatkan kaum muslimin dan mereka akan menggunakan segala cara dan usaha untuk menyesatkan kaum muslimin dari agamanya sebagaimana firman Allah s.w.t :

“ orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (Wahai Muhammad) sehingga Engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk Yang benar". dan Demi Sesungguhnya jika Engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu Yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah Engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) Yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu”. (surah al-Baqarah : 120)

Biarkan sahaja mereka menggunakan perkataan “Allah”….

Tidak dapat dinafikan bahawa telah dibentang dan dibincangkan secara ilmiah bahawa tidak ada hukum yang jelas dan tepat yang mengharamkan orang bukan Islam untuk menggunakan perkataan “Allah” ini. Perkara ini boleh dirujuk di dalam blog-blog antaranya zaharuddin .net dan banyak lagi. Bahkan ada yang berpendapat bahawa lebih mudah untuk memberi kefahaman kepada non muslim mengenai hakikat ketuhanan bahawa tuhan itu satu sahaja bukan dua dan tiga sekiranya mereka diperkenalkan dengan perkataan Allah yang biasa digunakan oleh orang-orang muslim, moga dengan penggunaan perkataan ini akan mewujudkan tanda tanyer di dalam kotak pemikiran mereka. Sekiranya setengah pendapat mengatakan bahawa penggunaan perkataan ini oleh orang-orang kristian akan memudahkan mereka menyebarkan dakyah mereka maka saya mengatakan bahawa dari sudut pandang yang lain juga penggunaan perkataan ini akan menjadi senjata yang akan makan tuan. Sepertimana yang kita ketahui bahawa dalam agama-agama yang lain mereka menggunakan konsep banyak tuhan seperti konsep trinity yang diamalkan oleh ajaran kristian dan ia merupakan satu konsep yang sukar untuk difahami oleh mereka sebenarnya.

Tuhan bapa+ruh qudus+jesus= Allah. Seolah-olah 1+1+1=1 dan perkara ini amat mustahil untuk diterima oleh akal yang waras. Mungkin dengan persoalan-persoalan ini akan menjelaskan kepada mereka bahawa telah berlaku penyelewengan di dalam agama mereka. Kita juga tidak boleh untuk menafikan bahawa asalnya ajaran kristian ini adalah berpandukan kitab injil yang disampaikan oleh nabi isa a.s yang mengajak manusia untuk mentauhidkan Allah s.w.t sebagai pencipta dan satu-satunya yang layak disembah. Hanyasanya ia telah ditokok tambah dan diselewengkan oleh paderi-paderi.

Penggunaan perkataan Allah hanya akan mendekatkan mereka dengan Islam dan kebenaran Islam serta akan menonjolkan kekeliruan dan penipuan di dalam agama mereka.

Seolah-olah satu lakonan.

Kita dapat melihat dan meneliti bahawa terdapat banyak pihak yang tidak bersetuju dengan keputusan mahkamah yang membenarkan penggunaan kalimah “Allah” tersebut. Kebanyakan berpendapat bahawa ia merupakan sesuatu yang menyentuh sensitivity umat Islam. Bahkan ada juga yang melenting dengan alasan bahawa sekiranya perkara ini dibiarkan ia akan merosakkan akidah umat Islam terutamanya golongan muda dan generasi akan datang.

Tidak dinafikan suatu pemikiran yang baik dan bertanggjawab oleh generasi masa kini dalam memikirkan masa hadapan generasi akan datang terutamanya umat Islam. Tetapi menjadi suatu kepelikan.., apabila sebahagian mereka menyatakan bimbang terhadap akidah generasi akan datang dalam masa yang sama perbuatan dan tindakan mereka tidak menunjukkan yang mereka bimbang terhadap persoalan akidah.

Mereka memperjuangkan agar kalimah itu tidak digunakan oleh orang-orang kafir tapi dalam masa yang sama merekalah golongan yang menyokong undang-undang orang kafir, merekalah yang mengamalkan undang-undang orang kafir, merekalah yang merencanakan proram-program mungkar kepada masyarakat dan banyak lagi… inikah yang dikatakan bimbang terhadap persoalan akidah geberasi akan datang terutamanya golongan pemerintah. Membiarkan masyarakat jahil terhadap agama., adakah dengan mempermainkan hukum Allah itu tidak menjadi kafir..? adakah dengan mewujudkan pelbagai program-program mungkar itu tidak akan merosakkan akidah generasi akan datang..? marilah kita renung dan fikirkan bersama….. janganlah hanya menjadi pelakon-pelakon murahan…..

Saturday, January 2, 2010

Alangkah Ruginya

0 comments
Pengertian riya’.

Perkataan riya’ adalah berasas dari perkataan arab kata terbitan dari Ra’a, Yura’I, Riya’n, bererti memperlihat-lihatkan atau menonjol-nonjolkan ataupun mempamirkan amalan saleh atau amalan yang berupa ibadah kepada makhluk dengan qasad untuk mendapat tempat di hati mereka. Ertinya pandangan dan sikap dari orang ramai itulah yang menjadi pendorong kepada amalnya. Sesuatu yang diistilahkan riya’ itu mengandungi lima cirri rukunnya :

• Al-Mura’I : orang yang melakukan riya’.
• Al-Mura’a : orang yang diperlihatkan amalan riya’nya.
• Al-Mura’a bihi : perkara-perkara yang menjadi bahan riya’ iaitu amalan ibadah dan ketaatan.
• Al-Mura’ liajlihi : perkara-perkara yang diqasadkan dari perbuatan riya’nya.
• Qasad al-Riya’ : Qasad riya’ itu sendiri.

Riya’ adalah penyakit hati yang membinasakan.

Jika syirik besar akan menyebabkan runtuhnya asas binaan Islam, maka syirik kecil atau riya’ akan menyebabkan runtuhnya nilai amal atau nilai pahala dalam ibadah. Malah boleh menyebabkan nilai dosa seperti yang dinaskan oleh Al-Quran.

”Wahai orang-orang Yang beriman! jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu Dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang Yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin Yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang Yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa Yang mereka usahakan. dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum Yang kafir.” (surah al-Baqarah ayat : 264).

Riya’ membahayakan diri.

Adapun bahaya kepada individu adalah jelas. Kemuncak dari apa yang dicita-citakan oleh seorang mukmin ialah keselamatan dari sisi Allah. Itulah yang disebut oleh al-Quran. Kejayaan atau kemenangan yang agong. Kejayaan ini selain ianya dari rahmat dan kurniaan Allah – adalah bergantung kepada amal usaha kebaikan di dunia yang diterima oleh Allah. Amal kebaikan yang diterima ialah amalan kebaikan yang bernilai baik atau yang diberi nilai pahala oleh Allah. Amalan baik yang bernilai baik ialah amalan yang lahirnya dilakukan mengikut kehendak syara’ dan mengikut peraturannya, sementara batinnya pula hendaklah dimatlamatkan, diqasad atau diniatkan kerana Allah. Jekasnya niat yang ikhlas dan bersih kerana Allah. Nilai inilah yang kekal dan menjadi bahan bekalan bagi kenikmatan.

Kalaulah kurangnya nilai pahala pada amal itu sudah merupakan satu kerugian inikan pula runtuh nilai pahalanya, apatah lagi kalau kedapatan dosa ! sebab itulah mengapa Rasullullah (s.a.w) menyatakan rasa kebimbangannya ke atas para sahabat lebih-lebih lagi ke atas umatnya.

Menurut islam riya’ adalah suatu sifat yang tercela dan hina. Oleh al-Quran ditegaskan bahawa sifat ini adalah sifat orang-orang kafir dan munafiq. Ia merupakan salah satu dari penyakit-penyakit hati yang merosak dan membahayakan, bukan sahaja kepada individu tetapi pada masyarakat dan umat, dan kebahagiaan hidup yang sebenar dan hakiki di akhirat. Bayangkan..!! betapa kecewa dan hampanya jika dalam saat yang dinanti-nantikan dan diharap-harapkan iaitu saat untuk kita mendapatkan nilai dari segala amalan dan kebaikan sewaktu di dunia tetapi dalam saat-saat yang sedemikian tiba-tiba kita dapati amalan ibadah kita itu tidak diberi nilai kerana sifat riya’ yang telah merosak dan membatalkannya. Keadaan ini digambarkan dalam sebuah hadith sahih tentang tiga orang yang telah menyumbang amal yang besar kepada masyarakat, iaitu sebagai mujahid yang berjuang untuk agama, Negara dan bangsa, seorang alim yang menyebarkan ilmunya dan ketiga seorang hartawan yang dermawan dan pemurah untuk melakukan amal kebajikan. Ketiga-tiga ini bukannya mendapat penghargaan dan balasan syurga tetapi sebaliknya telah dimasukkan ke Neraka sepertimana yang diterima oleh pelaku maksiat dan mereka yang derhaka.

Jelas menunjukkan kepada kita bahawa iblis dan sekutu-sekutunya tidak akan sesekali berhenti dan berputus asa untuk menyesat dan menyelewengkan kita. Walaupun pada zahirnya kita merasakn yang seseorang itu telah Berjaya atau kita merasakan bahawa kita telah Berjaya kerana telah mampu untuk melakukan pelbagai amalan-amalan yang baik serta banyak melakukan amal ibadah…. Perlu diingat syaitan tetap tidak akan berhenti untuk merosak dan menyelewengkan kita. Klo pada zahirnye syaitan tidak mampu die pasti akan cuba dari sudut yang lain iaitu dengan berusaha untuk memesongkan niat kita… tujuannya tidak lain agar amalan kebaikan yang kita lakukan itu tidak diterima oleh Allah s.w.t.

Oleh itu perlu sentiasa dan selalu memuhasabah diri dan selalulah memperbaiki niat kerana dikhuatiri kita tergolong di kalangan orang-orang yang berpenyakit hatinya dan rosak amalannya.


 

Pemuda Badar Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template