Thursday, October 15, 2009

Keruntuhan Akhlak Remaja : Kegagalan Sistem Pendidikan.






Sahabat-sahabat yang dirahmati oleh Allah sekalian. Sempena minggu jabatan dakwah dan kepimpinan yang lalu telah diadakan pertandingan debat yang menemukan antara beberapa kumpulan yang bertanding dan saya tertarik dengan debat final yang memperdebatkan tajuk di atas iaitu “keruntuhan akhlak remaja : kegagalan sistem pendidikan.

Memang hebat hujah-hujah yang dikemukan dan saya amat tertarik dengan beberapa hujjah yang sekiranya difikirkan dengan akal yang waras memang tidak dinafikan bahawa kerosakan akhlak remaja zaman sekarang ini adalah berpunca dari kegagalan sistem pendidikan Negara.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa sistem pendidikan yang diamalkan di Malaysia pada waktu ini adalah suatu sistem yang dapat melahirkan jutaan cerdik pandai yang mampu menerokai angkasa dan mencipta peralatan yang canggih manggih tetapi harus diketahui juga sesuatu hakikat yang tidak dapat disangkal bahawa sistem pendidikan ini jugalah yang telah melahirkan jutaan pemuda yang rosak dan binasa akhlaknya.

Memang benar firman Allah yang menyatakan bahawa sesiapa yang menolak akan syariat agama dan cara hidup Islam maka baginya kehidupan yang sempit dan susah. Kerosakan akhlak remaja pada masa kini adalah suatu perkara yang telah dijanjikan oleh Allah atas kebodohan manusia yang ingkar yang sanggup untuk mengenepikan ajaran agama ini lalu mengambil sesuatu yang lain di atas nama kemajuan dan kemodenan.

Golongan-golongan yang buta inilah yang telah mengambil cara dan bentuk pendidikan yang dibawa oleh barat dan menggunakannya untuk mendidik umat dan anak-anak bangsa. Mereka beranggapan bahawa dengan mengamalkan sistem pendidikan barat ini akan membawa kemajuan kepada anak bangsa. Namun mereka telah melakukan suatu kesilapan yang amat besar, mereka lupa bahawa sistem pendidikan barat yang mereka gunakan ini hanya akan melahirkan manusia yang cerdik dan bijak tetapi rosak akhlaknya. Persoalannya mengapa sistem ini tidak mampu untuk membina akhlak seseorang itu.

Pertamanya perlulah diketahui bahawa manusia ini terdiri dari jasad dan roh, jasad atau fizikal itu memerlukan makanan untuk meneruskan ia bertenaga dan bergerak, begitu juga dengan roh seseorang. Kajian moden telah menemui bahawa dalam otak setiap manusia terdapat satu titik yang disebut sebagai titik tuhan @ god spot. Ini membuktikan bahawa manusia tidak akn dapat lari dari fitrahnya iaitu perlu kepada tuhan. Dengan penemuan ini maka sebahagian pengkaji telah juga menemui teori baru yang menyatakan bahawa manusia ini bukan terdiri dari IQ, EQ sahaja tetapi juga SQ. SQ adalah kecerdasan spiritual dan setelah dilakukan beberapa kajian jelas menunjukkan bahawa kecerdasan spiritual ini lah yang membentuk akan akhlak seseorang itu.

Seseorang itu tidak akan dapat membentuk kecerdasan spiritualnya melainkan dengan mewujudkan hubungannya dengan tuhan dan tidak ada jalan lain melainkan dengan agama. Maka benarlah apa yang di ungkapkan oleh a’lim ulama’ bahawa manusia ini amat perlu kepada agama untuk memandu hidup mereka agar mereka hidup dalam keadaan yang baik dan harmoni.

Akan tetapi malangnya pada hari ini. Sistem pendidikan kita hanya menekankan soal akademik dan memandang ringan terhadap persoalan agama. Kita lihat sahaja bagaimana mata pelajaran agama yang dianak tirikan dengan dikurangkan jam kreditnya disekolah-sekolah kebangsaan dan dikurangkan sukatan pelajarannya di sekolah-sekolah menegah agama. Bahkan terdapat juga sekolah-sekolah agama yang dibiarkan tanpa diberikan bantuan.

Daripada sistem ini, maka lahirlah modal-modal insan yang hanya mementingkan kemajuan, keuntungan dan sebagainya serta mereka ini sudah tidak mengambil berat lagi soal agama dan akhlak mereka. Lihat sahaja hasilnya, lahir pemimpin yang bijak tetapi korupsi, media massa yang hebat tetapi programnya dipenuhi dengan perkara yang sia-sia hanya untuk mendapatkan keuntungan tanpa memikirkan akibatnya kepada masyrakat dan banyak lagi contoh yang malu untuk disebutkan di sini.

Ketahuilah sahabat-sahabt sekalian bahawa sisitem pendidikan yang sedia ada ini tidak memenuhi akan kehendak serta keperluan seseorang manusia itu. Manusia memerlukan dua bentuk pengisian yang penting iaitu pengisian luaran (akademik) dan dalaman (agama). Dengan pendidikan agama yang secukupnya maka akan dapat menenangkan hati-hati manusia kerana batin mereka telah mendapatkan makanan yang sepatutnya seterusnya dapat melahirkan insan yang baik akhlak dan tingkah lakunya. Sistem (sekular) ini hanya dapat memenuhi kehendak zahir manusia akan tetapi tidak dapat memenuhi kehendak batin manusia. Maka meronta-rontalah ia.

Oleh itu sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian, kita harus sedar bahawa sistem ini mesti di ubah dan diperbaiki agar suatu masa nanti Negara ini tidak ketandusan pemuda-pemudi atau modal insan yang baik dari sudut akademik dan akhlaknya. Kita lah yang harus sedar dan menyedarkan orang lain tentang perkara ini. Sekiranya bukan kita siapa lagi.


0 comments:

Post a Comment

 

Pemuda Badar Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template